KUALA LUMPUR: Pemula niaga MoneyMatch Teknologi Kewangan (FinTech), berjaya melakukan urus niaga rentas sempadan pertamanya secara langsung dari Malaysia menggunakan blok rantai.
Dalam satu kenyataan semalam, MoneyMatch berkata transaksi itu dilakukan dengan kerjasama Ripple San Francisco, yang akan membantu pengguna runcit menukar ringgit kepada euro pada kos yang jauh lebih rendah daripada pemindahan telegraf tradisional di bank.
“Ia juga berjaya memproses transaksi dalam tempoh beberapa jam menerusi blok rantai berbanding rangkaian SWIFT tradisional, yang digunakan oleh bank, yang mengambil masa minimum dua hari dan ada yang lebih lama,” katanya.
Transaski antarabangsa pertama blok rantai secara langsung pertama dari Malaysia ke Sepanyol, dan selepas urus niaga itu, MoneyMatch turut menjalankan pembayaran rentas sempadan secara langsung ke blok rantai ke Jerman, Latvia dan Ireland.
“Berdasarkan kejayaan transaksi rentas sempadan pertama ke Eropah, MoneyMatch kini dapat menawarkan harga terbaik secara berterusan pada kelajuan terpantas untuk pembayaran antarabangsa ke Eropah.
“MoneyMatch juga akan terus bekerja dengan beberapa rakan lain yang dikawal selia ke luar negeri yang juga berada dalam blok rantai Ripple seperti India, Thailand, Amerika Syarikat dan lain-lain bidang kuasa seperti itu,” katanya.
MoneyMatch diluluskan oleh Bank Negara Malaysia menerusi FinTech Sandbox BNM dan sehingga kini, MoneyMatch kekal sebagai satu-satunya operasi FinTech yang beroperasi secara langsung dengan fungsi elektronik ketahui pelanggan anda di negara ini.
Penggunanya boleh memindahkan wang ke luar negara pada kadar yang lebih murah dan masa pembayaran lebih pantas, dan setakat ini telah mengurus lebih RM220 juta daripada lebih sepuluh ribu pengguna berdaftar, dengan pelanggan PKS memanfaatkan sepenuhnya harga murah dan kepantasan pengeluaran MoneyMatch. — Bernama