KUALA LUMPUR – Pemula niaga teknologi kewangan (FinTech), MoneyMatch, berjaya melakukan urus niaga rentas sempadan pertamanya secara langsung dari Malaysia menggunakan blok rantai.
Moneymatch berkata, transaksi itu dilakukan dengan kerjasama Ripple Labs Inc. (Ripple Labs) yang berpangkalan di San Francisco.
Katanya, urus niaga berkenaan membantu pengguna runcit menukar mata wang ringgit kepada euro pada kos yang lebih rendah berbanding pemindahan telegraf tradisional di bank.
“Ia juga berjaya memproses transaksi dalam tempoh beberapa jam menerusi blok rantai berbanding rangkaian SWIFT tradisional oleh bank yang kebiasaannya mengambil masa minimum dua hari,” katanya menerusi satu kenyataan di sini kelmarin.
MoneyMatch berkata, urus niaga itu dari Malaysia ke Sepanyol dan berikutan daripada itu, ia juga menjalankan pembayaran rentas sempadan secara langsung melalui blok rantai ke Jerman, Latvia dan Ireland.
“Berdasarkan kejayaan transaksi rentas sempadan sulung ke Eropah, MoneyMatch kini dapat menawarkan harga terbaik secara berterusan pada kelajuan terpantas untuk pembayaran antarabangsa ke rantau itu.
“Kami juga akan terus bekerja dengan beberapa rakan yang dikawal selia lain, juga berada dalam blok rantai Ripple Labs, seperti India, Thailand, Amerika Syarikat,” katanya.
MoneyMatch diluluskan oleh Bank Negara Malaysia menerusi FinTech Sandbox BNM.
Sehingga kini ia kekal sebagai satu-satunya operasi FinTech yang beroperasi secara langsung dengan fungsi elektronik ketahui pelanggan anda di negara ini.
Beroperasi sejak Oktober 2017, ia telah berjaya memindahkan lebih RM220 juta menerusi lebih 10,000 pengguna berdaftar yang turut merangkumi perusahaan kecil dan sederhana.