StoreHub dapat pembiayaan RM20.2 juta perluas pasaran

KUALA LUMPUR: Penyedia perkhidmatan sistem jualan elektronik (POS) tempatan, StoreHub, memperoleh pembiayaan RM20.2 juta bagi mengembangkan perniagaannya ke Asia Tenggara.

Syarikat itu bersama pemodal teroka, Vertex Ventures mencapai peringkat muktamad kewangan bagi membiayai keperluan modal kerja, peningkatan sistem dan memperluaskan pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wai Hong Fong berkata, melalui pembiayaan itu, syarikat optimis dapat meningkatkan kapasiti tenaga dan teknologi baharu dalam meluaskan penguasaannya dalam POS di Asia Tenggara.

Ketika ini katanya, pihaknya sudah menembusi pasaran di 15 negara dengan lebih 3,000 pelanggan runcit membabitkan urus niaga jualan runcit sebanyak RM1.1 bilion dalam tempoh 12 bulan terakhir.

StoreHub juga mempunyai empat pejabat operasi di Manila, Bangkok dan Shanghai selain Malaysia sebagai ibu pejabat syarikat itu.

“Pembiayaan ini membolehkan kami meluaskan lagi penguasaan di negara Asia Tenggara terutama di pasaran Malaysia, Thailand, Indonesia dan Filipina. Ini termasuk juga membuka pejabat operasi baharu di beberapa buah negara.

“Ini kerana lebih daripada 1.1 juta peruncit di Thailand dan 500,000 peruncit di Filipina masih belum menerima pakai teknologi POS. Malah industri runcit di Malaysia juga masih tidak ramai menggunakan teknologi ini sekitar 250,000 peruncit.

“Ramai yang tidak tahu, dalam era perniagaan berteraskan atas talian, perniagaan luar talian (offline) sebegini masih relevan dan wajar dikekalkan. Lantaran itu StoreHub ingin mengekalkan industri runcit ‘offline’ agar kekal relevan dan terus berdaya saing,” katanya.

Hong Fong berkata, ketika ini sistem teknologi POS pihaknya dapat membantu peruncit dalam mengembangkan perniagaan, dengan beberapa teknologi baharu yang bakal ditambah dalam sistemnya itu.

Beliau berkata, platform berasaskan awan bakal membantu perniagaan kecil dan sederhana (PKS) mengadaptasi perubahan sistem perniagaan runcit dengan memasukkan teknologi baharu yang mampu mengurangkan kos.